PERLEMBAGAAN

FASAL 1 - NAMA

Badan Kebajikan Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia dan sebutan ringkasnya BKKUSIM.

FASAL 2 - ALAMAT

Alamat surat menyurat, pejabat dan tempat mesyuaratnya ialah di Kampus Induk, Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan.

FASAL 3 - TAFSIRAN

3.1 “Badan” bererti Badan Kebajikan Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia.
   
3,2 “Mesyuarat Agung” bererti suatu mesyuarat yang dibuat menurut Fasal 12.
   
3.3
“Jawatankuasa” bererti Jawatankuasa Badan seperti yang ditubuhkan bawah Fasal 14.
   
3.4 “Universiti” bermakna Universiti Sains Islam Malaysia.
   
3.5 "Ahli” bererti Ahli Badan Kebajikan Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia.
   
3.6 “Jawatankuasa Pelaksana” bererti satu Jawatankuasa yang dibentuk bersifat sementara di mana ahli-ahli dilantik oleh Jawatankuasa Badan.

FASAL 4 - MATLAMAT

4.1 Mencapai persefahaman, persaudaraan, kerjasama dan kesejahteraan di kalangan ahli menerusi kegiatan-kegiatan Badan.
   
4.2 Mengada dan menjalinkan hubungan dengan badan-badan dan persatuan-persatuan yang sesng lain sama ada dalam atau luar Universiti yang sesuai dengan fungsi dan matlamat badan.

FASAL 5 - PENAUNG

Penaung Badan adalah Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia.

FASAL 6 - FUNGSI

6.1 Menjadi Badan penyelaras bagi semua perkara berkaitan dengan kebajikan, sukan dan kepentingan ahli;
   
6.2 Menjadi satu Badan yang mewakili semua ahli Badan;
   
6.3 Bekerjasama dengan lain-lain pertubuhan yang sesuai dengan Badan;
   
6.4 Menyebarkan penerangan dan maklumat mengenai kegiatan dan hal yang ada kaitan dengan kepentingan ahli;
   
6.5 Menganjur dan mengadakan aktiviti/program untuk kesuburan rohani, jasmani serta sosio-ekonomi ahli-ahli; dan
   
6.6 Bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Universiti dalam hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan ahli.

FASAL 7 - KEAHLIAN

Semua kakitangan USIM adalah secara automatik menjadi ahli BKKUSIM.

FASAL 8 - YURAN KEAHLIAN

8.1 Yuran bulanan yang ditetapkan untuk setiap ahli adalah seperti berikut:
   
  8.1.1 Kumpulan Gred Utama - RM10.00
  8.1.2 Kumpulan Gred Khas & P&P - RM5.00
  8.1.3 Kumpulan Sokongan - RM2.00
     
8.2 Pembayaran yuran bulanan ahli adalah melalui potongan gaji.
   
8.3 Sebarang kenaikan kadar yuran hendaklah diputuskan dalam Mesyuarat Agung.

FASAL 9 - GUGUR KEAHLIAN

9.1 Keahlian akan gugur dengan sendirinya jika berhenti atau diberhentikan daripada Universiti Sains Islam Malaysia.

FASAL 10 - HAK AHLI

 10.1 Semua ahli adalah mempunyai hak yang sama dalam Badan.
   
 10.2 Berhak untuk bercakap, mencadang, menyokong dan mengundi sert dicalonkan sebagai Ahli Jawatankuasa.
   
 10.3 Berhak mendapat kemudahan yang disediakan oleh Badan antaranya;
  10.3.1 Cenderamata untuk perkahwinan ahli semasa berkhidmat di USIM
  10.3.2 Cenderamata untuk setiap kali menerima cahaya mata
  10.3.3 Cenderamata untuk ahli kerana bersara
  10.3.4 Bantuan ahli yang sakit yang dimasukkan ke dalam wad tidak kurang dari 3 hari (sekali setahun)
  10.3.5 Derma untuk kematian ahli, keluarga terdekat iaitu suami/isteri/anak dan ibubapa ahli
   
10.4 Berhak menerima dan mendapat kemudahan yang diwujudkan oleh Badan dari masa ke semasa.
   
10.5 Kemudahan-kemudahan di atas tertakluk setelah ahli menjelaskan yuran bulanan pertama melalui potongan gaji.

FASAL 11 - KEWAJIPAN AHLI

11.1 Seorang ahli tidak boleh mengeluarkan/menerbitkan sebarang surat/kenyataan mengenai Badan kepada bukan ahli dan lain-lainnya tanpa mendapat kebenaran Badan.
   
11.2 Mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang diatur oleh Badan.
   
11.3 Menghormati dan patuh kepada Peraturan Badan dan Keputusan Mesyuarat Agung.

FASAL 12 - MESYUARAT AGUNG

12.1 Mesyuarat Agung hendaklah dibuat dua (2) tahun sekali secepat mungkin selewat-lewatnya pada 31 Disember iaitu tahun kedua selepas perlantikan Ahli Jawatankuasa Badan. Masa dan tempat ditentukan oleh Jawatankuasa Badan.
   
12.2 Setiausaha hendaklah memanggil dengan menghantar satu notis mesyuarat yang mengandungi tarikh, waktu, tempat, agenda mesyuarat di samping penyata akaun.
   
12.3 Sekurang-kurangnya ½ daripada jumlah ahli hendaklah hadir dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi bilangan korum untuk mesyuarat.
   
12.4 Suatu notis awal mengenai Mesyuarat Agung yang menyatakan tarikh, masa dan tempat mesyuarat dan juga meminta usul-usul untuk dibincangkan termasuk usul pindaan dan akaun yang telah diaudit dan kertas undi sulit bersama perlembagaan dan juga pencalonan bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa hendaklah dihantar oleh Setiausaha kepada semua ahli tidak lewat dari 21 hari sebelum tarikh mesyuarat diadakan.
   
12.5 Pencalonan yang telah dipersetujui oleh calon dan usul untuk Mesyuarat Agung hendaklah dihantar kepada Setiausaha tidak lewat dari 15 hari selepas menerima notis awal.
   
12.6 Setiausaha hendaklah menghantar kepada semua ahli agenda mesyuarat termasuk usul-usul, salinan laporan atau penyata akaun yang telah diaudit 7 hari sebelum Mesyuarat Agung.

FASAL 13 - MESYUARAT AGUNG KHAS

13.1 Mesyuarat ini boleh diadakan sekiranya;
   
  13.1.1 Badan memutuskan ianya amat penting diadakan; atau
  13.1.2 Terdapat permintaan bertulis tidak kurang dari 1/3 jumlah bilangan ahli yang mengundi dengan menyatakan tujuan dan alasan diadakan.
     
13.2 Terdapat permintaan bertulis tidak kurang dari 1/3 jumlah bilangan ahli yang mengundi dengan menyatakan tujuan dan alasan diadakan.

FASAL 14 - JAWATANKUASA BADAN

14.1 Jawatankuasa Badan adalah kuasa tertinggi selepas Mesyuarat Agung, keputusannya adalah muktamad kecuali dibatalkan oleh Mesyuarat Agung.
   
14.2 Jawatankuasa Badan hendaklah terdiri daripada;
   
  14.2.1 Pengerusi
  14.2.2 Timbalan Pengerusi
  14.2.3 Setiausaha
  14.2.4 Timbalan Setiausaha
  14.2.5 Bendahari
  14.2.6 5 ahli Jawatankuasa yang lain
     
    i. Wakil kakitangan Pentadbiran
    ii. Wakil kakitangan akademik
    iii. Wakil kakitangan sokongan
    iv. Dua (2) ahli Jawatankuasa lain
   
14.3 Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 1 kali (sekali) dalam tiga (3) bulan dan korum minima adalah seramai 5 orang.
   
14.4 Semua ahli Jawatankuasa hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Agung (2 tahun sekali).
   
14.5 Mesyuarat Jawatankuasa hendaklah dipanggil oleh Setiausaha dengan persetujuan Pengerusi.
   
14.6 Jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Timalan Pengerusi memangku jawatan tersebut sehingga Mesyuarat Agung.
   
14.7 Jika pemangku juga berhenti atau diberhentikan, satu Mesyuarat Agung Khas tergempat hendaklah dibuat bagi memilih Pengerusi dan Timbala Pengerusi baru.

FASAL 15 - TUGAS-TUGAS JAWATANKUASA BADAN

15.1 Mengendalikan dasar-dasar dan merancang Badan.
   
15.2 Melantik Jawatankuasa-jawatankuasa Kecik dan Jawatankuasa Khas bagi Badan.
   
15.3 Mengurus dan mendapatkan punca-punca lain kewangan Badan.
   
15.4 Mengisi keahlian Jawatankuasa Badan yang kosong.
   
15.5 Melaksanakan keputusan-keputusan yang diambil dalam MesyuaratAgung.
   
15.6 Membentangkan dalam Mesyuarat Agung, Laporan dan Penyata Kewangan Badan yang disahkan oleh Juruaudit Dalaman.
   
15.7 Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Badan dari masa kesemasa.

FASAL 16 - TANGGUNGJAWAB AHLI JAWATANKUASA

16.1 Pengerusi hendaklah;

(a) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Badan, Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Agung Khas;
(b) Mempunyai kuasa undi penentu;
(c) Menandatangani cek-cek bagi pihak Badan bersama dengan Bendahari dan / atau Setiausaha.

16.2 Timbalan Pengerusi hendaklah;

(a) Menggantikan Pengerusi jika jawatan itu kosng disebabkan Pengerusi tidak dapat menjalankan tugas atas sebab-sebab tertentu.
(b) Bertanggungjawab mengenai kebajikan ahli-ahli Badan.
(c) Membantu tugas-tugas Pengerusi.
(d) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat apabila Pengerusi tidak dapat hadir.
(e) Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Badan dari masa ke semasa.

16.3 Setiausaha hendaklah;

(a) Menguruskan urusan surat menyurat badan dan menyimpan buku rekod.
(b) Menyedia dan membentangkan Laporan Tahunan Badan bagi pihak Badan.
(c) Menjalankan kerja-kerja pentadbiran Badan berdasarkan peraturan Badan dan keputusan mesyuarat-mesyuarat.
(d) Bertanggungjawab atas kesempurnaan semua perjalanan mesyuarat-mesyuarat.
(e) Memanggil, hadir dalam mesyuarat dan mencatat minit mesyuarat
(f) Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Badan dari masa ke semasa.

16.4 Bendahari hendaklah;

(a) Bertanggungjawab di atas semua kira-kira kewangan Badan.
(b) Menyiap dan membentangkan Penyata Kewangan dalam Mesyuarat Agung.
(c) Menandatangani semua cek, baucer dan lain-lain dokumen kewangan bersama Pengerusi dan/atau Setiausaha.
(d) Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Badan dari masa ke semasa.

16.5 Lima Ahli Jawatankuasa hendaklah;

(a) Menjalankan tugas-tugas yang diarah dan diberikan oleh Badan serta memastikan perlaksanaannya berjalan lancar.
(b) Jawatan dan tugas yang dibentuk hendaklah bersesuaian dengan tugas dan matlamat Badan.
(c) Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Badan dari masa ke semasa.

FASAL 17 - KUASA JAWATANKUASA BADAN

17.1 Badan berkuasa mempunyai perkara-perkara berikut;

(a) Melantik dari kalangan ahli-ahli badan bagi memenuhi jawatan yang dikosongkan oleh mana-mana ahli Jawatankuasa.
(b) Menubuhkan Jawatankuasa Pelaksana, jika difikirkan perlu dan munasabah serta menetapkan tugas-tugas serta membubarkannya pada bila-bila masa.
(c) Membuat sebarang peraturan terutama mengenai keahlian, kewangan, penubuhan Jawatankuasa Pelaksana dan membuat aktiviti-aktiviti yang mendatangkan faedah dan hasil kepada Badan

FASAL 18 - JURUAUDIT DALAM

18.1 Seorang Juruadudit Dalaman yang bukan ahli Jawatankuasa Badan hendaklah dilantik oleh Badan bagi;
(a) Memeriksa kira-kira Badan pada penghujung setiap dua (2) tahun dan menyampaikan penyatanya pada Badan.
(b) Buku-buku dan kira-kira Badan hendaklah diaudit oleh Juruaudit Dalaman dan ia berhak melihat semua buku-buku dan surat keterangan yang mustahak untuk menyempurnakan tugasnya.

FASAL 19 - PEMERIKSA UNDI

19.1 Dua orang ahli tabung yang tidak menjadi calon Jawatankuasa Badan hendaklah dilantik melalui Mesyuarat Agung untuk mentadbir segala perjalanan pemilihan Jawatankuasa Badan secara undian.

FASAL 20 - KEWANGAN

20.1 Perbelanjaan dibenarkan untuk perkara berikut;
(a) Membeli cenderamata untuk perkahwinan ahli semasa berkhidmat di USIM, setiap kali ahli menerima cahaya mata dan apabila ahli bersara.
(b) Bantuan ahli yang sakit yang dimasukkan ke dalam wad tidak kurang dari tiga (3) hari (sekali setahun).
(c) Derma untuk kematian ahli, keluarga terdekat iaitu suami/isteri/anak dan ibubapa ahli.
(d) Bayaran kos dan perbelanjaan pentadbiran Badan.
(e) Mencetak dan mengedarkan surat menyurat dan segala dokumen untuk kebajikan dan kepentingan ahli-ahli Badan selaras dengan tugas dan matlamat Badan.(f) Menjalankan aktiviti sukan, pelajaran, latihan, amal dan sosiobudaya untuk ahli.
(g) Semua wang Badan yang tidak digunakan bagi perbelanjaan semasa hendaklah didepositkan oleh Bendahari dalam akaun Badan. Akaun bank hendaklah dibuat atas nama Tabung Kebajikan Kakitangan USIM.
(h) Bendahari boleh menyimpan wang Tunai Runcit tidak melebihi RM200.00 (Ringgit Malaysia : Dua Ratus sahaja) pada sesuatu masa.

FASAL 21 - PINDAAN PERATURAN

21.1 Peraturan boleh dipinda melalui Mesyuarat Agung dengan persetujuan tidak kurang dari 2/3 jumlah ahli yang hadir.

FASAL 22 - PEMBUBARAN

22.1 Badan tidak boleh dibubarkan dengan sendiri melainkan dengan persetujuan sekurang-kurangnya 2/3 daripada ahli-ahli yang hadir.
22.2 Satu Jawatankuasa Khas hendaklah dilantik dan bertanggungjawab untuk;

(a) Menutup akaun tabung.
(b) Menyelesaikan segala hutang piutang (jika ada).
(c) Membahagikan segala wang dan harga benda mengikut cara yang ditentukan oleh Mesyuarat Agung Khas untuk membubarkan Badan.

 Anda Pengunjung ke:

 

BADAN KEBAJIKAN KAKITANGAN USIM (BKKUSIM)
Aras 1, Pusat Komersil, Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 8053 | Faks: +606-798 6291 | Email: bkk[at]usim.edu.my | Tarikh kemaskini : 11 Julai 2014